Saturday, April 21, 2012

CINTA FARAH EDORA episod 16


Episod  Enam Belas……

sambungan dari episod 15....

Risik & Tunang
Februari 2010

          Pertunangan Aqeel Hakimi begitu meragut rasa hati seorang gadis bernama Farah Edora. 14 Februari 2010 meninggalkan suatu catatan yang tidak sihat di minda dan jiwa gadis kecil molek itu.  Hati, perasaan dan mindanya amat terganggu.  Farah Edora tidak menyangka bahawa pesaingnya dalam acara cinta adalah orang yang paling dekat dengannya.
         
Ingat lagi Farah Edora ketika rombongan keluarga Aqeel Hakimi datang bertandang ke rumahnya selepas waktu zuhur berlepas pergi dan sebelum waktu asar menyambut tiba.  Ia begitu terperanjat bila mengetahui bahawa tetamu yang datang pada petang itu adalah dari keluarga Aqeel Hakimi.  Persoalan bermain di minda sihatnya tentang tujuan keluarga Hakimi datang.  Hatinya berdetik gembira jika tujuan mereka adalah untuk merisik. Tapi persoalannya kenapa Hakimi tidak memaklumkan terlebih dahulu kepadanya.
         
          Dalam masyarakat melayu, kebiasaannya jika akan berlaku sesuatu majlis seperti pertunangan, acara merisik dan perkahwinan yang melibatkan dua keluarga, pasangannya akan terlebih dahulu telah merencanakannya.  Wakil yang hadir adalah sebagai pelengkap adat melayu yang dijunjung tinggi.  Jika pada zaman dahulu sekitar tahun tujuh puluhan dan sebelumnya mungkin ibubapa yang mengaturkan segala perjalanan hidup anak mereka.  Anak yang bakal di kahwinkan ketika itu biasanya tidak mengenal dan mengetahui pasangan mereka. Mereka hanya akan tahu selepas acara merisik dan bertunang di jalankan.  Tiada perbincangan awal dari pasangan kerana mereka tidak mengenal antara satu sama lain dan jika kenal pun sukar bagi mereka untuk berjumpa kerana batasan adat yang begitu tebal ketika itu.

          Farah Edora segera masuk ke kamarnya dan menyalin baju kurung melayu untuk meraikan tetamu yang datang.  Ketika ia sedang bersiap-siap ia melihat kakaknya Farah Ain telah tersergam indah dengan baju kurung melayu berwarna biru dan bersedia untuk turun ke tingkat bawah rumah mereka.  Farah Edora yang tergesa-gesa merapikan wajah melupakan sejenak kakaknya yang baru melangkah keluar dari bilik.  Selesai berhias ia terus berlari-lari anak ke ruang tamu bagi membantu mamanya menyediakan jamuan ringan untuk tetamu.  Sampai di ruang dapur ia melihat kakaknya Farah Ain sedang menuang air di cawan putih berbunga mawar merah. Farah Edora terkilan kerana sedikit lewat hadir ke dapur bagi menyediakan hidangan untuk tetamunya.  Ia segera menyapai dulang yang telah penuh dengan cawan yang telah di isi dengan air teh `O’ oleh kakaknya untuk di hantar kepada tetamu yang sedang rancak berbicara di ruang tamu rumahnya.  Farah Ain hanya membiarkan Farah Edora membantu mengangkat minuman itu kerana ia perlu membawa suatu lagi dulang yang di penuhi dengan kuih-muih.   
         
Tetamu yang datang saling berpandangan bila melihat kelibat dua anak gadis melayu yang manis berbaju kurung dan bertudung rapi mendatang sembah bagi meraikan mereka yang hadir.  Rombongan seramai lima orang dengan diketuai oleh emak Aqeel Hakimi terpikat dengan keterampilan dua anak gadis itu. Persoalan timbul di hati Hajah Rubiah siapakah gadis yang dimaksudkan oleh Hakimi.  Sejurus kemudian tampil pula Farah Atillia bersama Hajah Maimunah duduk di sofa di sebelah Hajah Rubiah. Hajah Rubiah sekali lagi terpaku kerana melihat kelibat seorang lagi anak gadis yang kelihatan lebih dewasa dan matang hadir bersebelah isteri ketua rumah. Sekali lagi persoalan timbul di mindanya.  Farah Ain dan Edora tidak sama duduk diruang tetamu `vip’, mereka duduk bersila sopan di penjuru tepi yang kira-kira dua meter dari tetamu yang hadir.  Hakimi tidak turut serta menerjah ke dalam rumah pemilik rumah.  Ia hadir hanya untuk menunjuk jalan yang telah diberikan oleh anak gadis pemilik rumah kepada ahli rombongan yang hadir bagi urusan merisik.

Setelah keadaan tenang, Hajah Rubiah mula mengatur bicara. Salam dari suami yang tidak dapat hadir kerana keuzuran menjadi ayat awal bicaranya bagi makluman Haji Johari dan isteri.

`Tuan haji dan puan hajah, kehadiran kami membawa hajat. Itupun kalau pihak tuan rumah sudi menerima’ tutur Hajah Rubiah dengan lembut dan santun.

          `Kami sekeluarga tiada halangan dan berbesar hati atas kesudian puan serta kerabat hadir ke teratak kami yang sebegini rupa’ jawab Haji Johari sebagai ketua tuan rumah.

          `Hajatnya pun kami dah tahu, Cuma hanya ingin kepastian dan kata putus sahaja’ kata Hajah Maimunah pula selaku pembantu ketua tuan rumah.

          Haji Johari dan isteri sememangnya telah mengetahui akan hajat keluarga Hakimi bertandang ke rumahnya. Anak gadisnya telah seminggu awal memaklumkan tentang kehadiran tetamu mulia itu. Namun begitu, proses merisik perlu dilakukan secara rasmi sebagai tanda persetujuan antara dua pihak demi kelangsungan adat melayu yang telah lama bertapak dijiwa mereka yang masih memeliharanya. Farah Ain hanya tersenyum dan tidak kepada Farah Edora.  Ia begitu binggung dan tidak berupaya untuk senyum atau gembira. Farah Edora tidak faham akan jawapan daripada mamanya.

          `Tuan haji dan puan hajah, kami datang ini bukan sahaja untuk merisik tetapi kalau boleh mahu untuk meminang sekali, itupun jika bunga di taman tiada penghalang’ kata Hajah Rubiah menyambung bicara selaku ketua rombongan.

          Pada zaman dahulu biasanya ketua rombongan bagi acara merisik atau meminang akan dilakukan oleh wakil yang berwibawa dari kalangan keluarga atau orang penting di sesuatu kampung atau perumahan. Mereka yang diberi kuasa sebagai wakil akan menyampaikan hajat daripada ibu bapa pihak lelaki. Ibu dan bapa pihak lelaki tidak sekali-kali akan hadir. Ia berbeza dengan zaman sekarang yang lebih terbuka. Ibu bapa lebih suka hadir sendiri bagi menyampaikan hajat anak mereka dan membuat kata putus.  Mereka bukan tidak percaya kepada wakil yang diberi kuasa tapi kurang sabar untuk mendengar keputusan dari pihak perempuan. Lagi pula ia tidak menyalahi adat, cuma menjadi `trend’.
         
`Pihak kami tiada halangan atas perkara itu jika cukup syaratnya, lagi pun bunga masih elok tiada siapa yang terawal memetik’ jawab Haji Johari pendek.

`Alhamdulillah, nampaknya tangan dihulur telah di sambut mesra’ tutur Hajah Rubiah sambil mengeluarkan sebentuk cincin bertatah permata yang disimpan oleh pengiring di sebelahnya.

Apabila persetujuan telah di terima, Hajah Rubiah mohon izin kepada ibubapa bakal menantunya untuk menyarung cincin ke jari manis si pemilik diri sebagai tanda ikatan suci terjalin indah.  Hajah Rubiah menghampiri dua anak gadis manis lalu bertanya kepada empunya diri.

`Maaf, yang mana satu Farah Ain’ soal Hajah Rubiah tanpa berselindung bahawa ia tidak mengenali rupa paras bakal menantunya itu.

Farah Ain segera senyum sambil memperkenalkan diri.  Tangan kirinya di hulurkan kepada bakal ibu mertuanya untuk memahkotakan cincin yang dikhaskan untuknya. Farah Ain telah awal mengenali cincin itu kerana kedai emas Li Wah di Holiday Plaza adalah lokasi penemuannya.  Farah Edora yang duduk bersebelah dengan kakaknya itu terkedu seketika. Ia bagaikan seorang ibu tua yang menerima berita kematian anak yang telah lama hilang di perantauan.  Farah Edora bagaikan burung yang hilang sayap untuk terbang. Namun demi maruah keluarga yang perlu di jaga, ia tabah.  Hanya Allah yang maha mengetahui tentang hatinya ketika itu.    

Selesai melakukan acara adat menyarung cincin, Hajah Rubiah segera kembali ke tempat duduk di ruang tamu rumah Haji Johari dan Hajah Maimunah untuk meneruskan agenda.

`Tuan Haji dan Puan Hajah, saya di sini mohon satu lagi hajat, itupun kalau dipersudikan jua’ tutur Hajah Rubiah setelah lebih kurang dua minit duduk di kerusi di mana ia tinggalkan tadi.

`Wah, lain macam aje bunyinya puan’ tanya Haji Johari ingin tahu.

`Begini, Tuan Haji dan Puan Hajah, kalau di persetujukan jua, saya mohon agar majlis pernikahan dan persandingan mereka dapat di adakan dalam tempoh terdekat.  Kalau diizinkan sekitar bulan mei ini’ terang Hajah Rubiah lagi.

Haji Johari dan isteri agak tidak selesa dengan permohonan keluarga pihak lelaki. Tempoh yang di pohon terlalu dekat dan menyukarkan mereka. Bagi pihak keluarga perempuan biasanya mereka perlu membuat persiapan lebih kurang enam bulan sebelum majlis dilangsungkan.  Masa tiga bulan yang dipohon oleh keluarga pihak lelaki begitu sukar di terima.  Hajah Rubiah awal-awal lagi telah merasakan bahawa bakal besannya akan kurang senang dengan tempoh masa yang ia mahukan. Untuk itu Hajah Rubiah perlu menerangkan sebab musabab keluarganya mohon agar majlis pernikahan dapat dilangsungkan segera.

Kesihatan Haji Idris, ayah kepada Hakimi menjadi sebab utama.   Haji Idris yang sedang sakit tidak dapat hadir sama ke majlis merisik itu dan mewakilkan isterinya untuk menyampaikan hajat anak mereka Hakimi. Sakit barah otak yang dialami oleh Haji Idris tidak memungkinkan ia dapat bertahan lama.  Doktor peribadinya telah awal-awal lagi memaklumkan jangka hayatnya. Oleh itu, sebelum nafas terhenti ia mahu melihat sendiri satu-satunya anak lelaki pewaris segala pusakanya berkahwin. 
Haji Johari dan isteri terkedu mendengar butiran cerita. Atas dasar itu mereka sebulat suara bersetuju setelah mendapat persetujuan daripada Farah Ain.  Persetujuan Farah Ain amat penting demi masa depannya.  
Persetujuan dicapai oleh kedua belah pihak bagi mengadakan majlis terindah itu pada bulan Mei. 

Farah Edora berlalu membawa hati yang seperti telah mati.



bersambung ke episod 17.....

Wednesday, February 1, 2012

CINTA FARAH EDORA-episod 15

Episod Lima Belas……

bersambung dari ep..14


BBU…..JB

Hiba pulang bersama Farah Edora ke rumah sewa tanpa perlu pembayaran di Bandar Baru Uda iaitu rumah yang dibeli oleh ayahnya Haji Johari dengan keringat sebagai seorang anggota polis. Wajahnya yang selalunya ceria dan manja hilang seketika. Rakan sebiliknya iaitu Farah Ain yang merupakan kakak kandungnya perasan pada perubahan adiknya. Farah Ain hanya mendiamkan diri sejenak bagi memberi laluan si pemilik diri tenang dan dengan rela hati menceritakan permasalahannya. Farah Ain amat yakin dan tahu bahawa adik kesayangannya itu sedang menghadapi masalah, cuma yang tidak diketahui apakah masalah itu. Adakah masalah itu tentang kerja, rakan kerja, hati, jiwa dan keluarga masih dalam ramalan Farah Ain. Sebagai ahli nujum Pak Belalang, Farah Ain hanya mampu melihat dalam air tanpa dapat melihat apa yang tersirat dan tersurat.

Farah Ain tidak dapat sama berkongsi kedukaan dengan adiknya kerana buat ketika itu, ia sedang dilanda ombak kasih yang membadai tinggi. Tak dapat ia menahan panahan petir yang menyambar hingga ke pelusuk hati menyebabkan wajahnya tak pernah lekang dengan senyuman walau sendirian. Farah Edora yang kedukaan tidak dapat melihat cahaya cinta di wajah kakaknya kerana fikirannya tidak terurus, matanya buta dalam celik dan hanya hati yang berdetik belum mati. Dalam kelesuan Farah Edora melangkah ke bilik mandi untuk mengangkat wuduk bagi melaksanakan solat isyak yang baru menjelma. Di akhir rukun selepas memberi salam, ia menadah tangan serapatnya memohon keampunan atas segala dosa-dosanya dan juga dosa-dosa kedua ibubapa serta saudaranya. Suara yang dilontar hanya bisa di dengari oleh telinganya sendiri. Dalam doa akhirnya ia memohon;

Ya Allah ya tuhanku...ku mohon agar Kau temukanlah daku dengan cinta yang mendapat keredhaanMu Ya Allah....Amin Ya Rabbal Alamin....’.

Selesai solat dan berdoa, Farah Edora duduk di hujung katilnya sambil melihat kakaknya sedang bermain-main dengan telefon bimbit jenama sony erriksonnya. Sedih terasa di hati kerana diri tidak diperhati. Perlahan Farah Edora bangun dan mengambil novel yang baru di belinya sebelum pulang ke rumah berjudul `Ombak Rindu’. Farah Edora membelek-belek novel setebal 576 mukasurat itu sebelum membacanya. Muka depan novel yang ditulis indah tajuknya dengan gambar dua jiwa yang sedang berdiri di atas batu tepian pantai membuka hijab Farah Edora untuk merungkai apa cerita di sebalik tajuk yang tercipta oleh Fauziah Ashari.

Farah Edora sebenarnya sejak dari zaman persekolahan hingga tamat pengajian di universiti ia tidak pernah sekali membaca novel yang agak berat dan berlatarkan cinta. Ia lebih gemar membaca buku-buku berkisarkan khayalan, magik dan komedi. Novel bersiri Harry Porter menjadi kegemarannya. Namun petang sebelum pulang ke rumah merubah segalanya. Tangannya seperti di paksa-paksa mengambil naskah tulisan Fauziah Ashari itu. Situasi yang dialaminya kini memungkinkan perubahan itu. Farah Edora baring sambil memulakan langkah ke pintu masuk cerita novel itu. Helaian demi helaian di terjah dengan begitu asyik sekali. Akhirnya Izzah watak utama ditinggalkan dalam muka sepuluh novel Ombak Rindu dalam dakapan malam.

Sabtu merupakan hari cuti mingguan. Farah Edora tiada apa-apa perancangan dan hanya duduk di rumah mengemaskan bilik, membantu mamanya membasuh pakaian dan berehat. Farah Edora tidak berapa selesa untuk membantu mamanya memasak di dapur kerana pekerjaan itu jarang dilakukan sejak dibangku sekolah lagi. Ia bukan tidak tahu langsung memasak tetapi tidak berminat untuk memasak. Mamanya seringkali menegurnya agar belajar memasak supaya bila berumahtangga kelak akan memudahkan ia menguruskan suami. Namun Farah Edora sedikit malas dalam hal itu.

‘Beli aje mama kat restoran, lagi senang’ jawab Farah Edora dengan nada gurau manja kepada mamanya ketika sedang berbual-bual pada suatu petang ahad.

‘Beli aje, lebih baik adik kawin aje ngan mamak kedai tu.he he he’ usik Farah Ain yang membuat Farah Edora marah dan mengejarnya pada suatu petang ahad itu.

Farah Ain pula telah mengatur jadual untuk keluar. Kereta Atosnya dibersihkan agar kereta-kereta lain yang berkeliaran di jalanraya akan cemburu dengan kecantikannya. Ia telah merencanakan akan keluar pada jam 12.00 tengahari dan destinasi yang telah dipersetujui dengan orang yang akan ditemui ialah Tebrau City di Pandan. Setelah meminta izin dari mamanya dan memaklumkan kepada rakan sebilik yang tidak dipelawa, Farah Ain menghidupkan nyawa keretanya untuk diarahkan ke lokasi jalan menuju ke Kota Tinggi. Farah Ain menyusuri jalan Kampung Ubi untuk keluar ke jalan Tebrau dan terus menyusuri kiri jalan menuju ke Tebrau City yang bersebelahan Tesco Hypermarket. Kira-kira pukul 12.30 tengahari kereta putihnya melabuhkan sauh di tempat letak kereta di bahagian bawah bangunan Tebrau City.

Farah Ain terus melangkah masuk ke pintu tengah bangunan plaza itu melalui lif yang disediakan. Sampai di tingkat dua di bahagian tengah ia terus berjalan kearah kanan untuk bertemu dengan seseorang yang telah sedia menunggu. Sussi King menjadi saksi pertemuan mereka itu. Meja jenis khas untuk dua orang pelanggan menjadi pilihan Farah Ain dan jejaka yang mengiringinya.

‘Maaf, lama awak tunggu’ kata Farah Ain memulakan bicara.

‘Ah, tak dalah baru jugak’ jawab Kim, jejaka yang bersama Farah Ain kini.

‘Ayu, awak biasa ya makan kat sini’ tanya Kim pada Ayu.

‘Taklah selalu sangat, cuma bila ada masa jalan-jalan ngan kawan-kawan saya suka makan kat sini’ jawab Ayu pendek.

Ayu dan Kim berborak panjang sambil makan tengahari dengan menu Jepun. Sumami,temaki,donburi, garlic rise pilihan Ayu. Manakala Kim yang tidak biasa dengan makanan orang Japang itu hanya mengikut apa yang dipilih oleh Ayu. Bagi Kim dapat bersua dan berbicara dengan Ayu lebih bermakna walaupun perlu menjamah makanan yang diperbuat dari pulut, ikan salmon dan udang itu. Cerita-cerita zaman persekolahan mewarnai perbualan mereka. Ayu mahupun Kim tidak langsung menyentuh perihal tempat kerja masing-masing kerana bagi mereka waktu emas yang terluang perlu untuk cerita-cerita yang ringan dan nostalgia. Ayu lebih banyak berbicara. Kim pula lebih suka mendengar sambil menatapi wajah gadis periangan didepannya. Cerita yang disulami dengan gelak tawa mengambarkan segala kebahagian yang diharapkan oleh kedua jiwa. Ayu mahu sahaja mengungkapkan kata cinta yang telah terlalu lama tersimpan, namun kelu lidah untuk berbicara kerana malu yang menebal. Kim pula masih berteka teki. Ia takut kalau gadis yang bersamanya itu telah dimiliki oleh hati lelaki lain atau menolaknya.

Namun dari riak wajah dan bicara Ayu, Kim seperti telah mengerti bahawa gadis itu masih belum berpunya sekarang. Kim tahu Ayu memang pernah ada hubungan dengan lelaki namun gagal kerana perpisahan. Kim juga tahu Ayu tak pernah lupa akan dirinya. Itu yang membuatkan ia begitu kagum dengan diri Ayu. Patutlah Kim sering kali terasa bahawa ada orang yang mencuri hatinya hingga ia tidak punya selera dengan gadis-gadis yang ditemui dan di kenali walau wajah mereka secantik gadis-gadis yang seringkali menayangkan diri mereka di majalah-majalah tempatan. Pada Kim, Ayu seperti telah tercipta untuknya.

Farah Edora yang masih kemurungan, terus mencapai `Ombak Rindu’ nya untuk terus di layari bersama hati yang rawan. Harris kini menjadi tumpuan Farah Edora. Sehelai demi sehelai naskah Fauziah Ashari di terjemahkan dalam minda sihatnya. Hatinya begitu sayu mengenangkan derita yang ditanggung oleh Izzah. Airmata yang telah lama terpendam akhirnya mengalir deras menyusuri pipi montel kemerahannya. Izzah dan dirinya seiringan dalam kedukaan. Farah Edora seperti dapat merasakan apa yang dirasai oleh Izzah. Begitu pedih rasa hati bila ditinggalkan oleh orang yang disayangi. Izzah tidak pernah kotor walaupun pernah di kotori. Kesuciannya terpelihara kerana ia tidak terus memusnahkan diri yang telah di kotori.

Sedang asyik dalam melayari Ombak Rindu nya, Farah Edora di kejutkan dengan bunyi geselan mangga pintu biliknya. Seorang insan wanita yang penuh keceriaan melangkah masuk ke biliknya dan terus duduk di sebelah Farah Edora yang sedang bebaring di kamar rindunya. Tangan kanan gadis itu mencuit-cuit sudut geli Farah Edora menyebabkan ia sedikit tersentak. Tangan itu terus mengganas hingga menyebabkan Farah Edora alah dan terus bangkit kerana tidak tahan kegeliaan. Farah Edora yang dalam kedukaan terus ketawa.

`Angah, janganlah, janganlah, nanti adik hempuk baru tau’ teriak Farah Edora sambil memeluk kakaknya itu bagi mengelakkan ia terus mengeleteknya.

Farah Ain tahu adiknya pengeli dan mudah ketawa bila di geletek. Ia mengambil kesempatan itu bagi menceriakan kembali kedukaan yang tersemat di hati adiknya. Bagi Farah Ain, hidupnya seperti tawar jika tidak dapat bergurau senda dengan adik kesayangannya itu. Walaupun ia dalam keadaan yang begitu bahagia, namun kedukaan adiknya menyentap sanubarinya. Bila Farah Edora ketawa, ia tahu bahawa adiknya itu telah dapat mengawal diri dan tenang.

`Angah, `happy’ semacam nampak’ tanya Farah Edora kepada kakaknya setelah keadaan tenang.

Farah Ain hanya tersenyum tanpa memberi apa-apa jawapan kepada persoalan adiknya. Kebahagian yang menjelma membuatkan lidahnya kelu untuk berbicara. Matanya yang sepet bagai puteri Korea hanya mampu tersenyum. Senyuman itulah yang menjadi idola Kim, jejaka yang telah menawan hatinya selama ini.

`Mata awak cantik betul bila awak senyum, Ayu’ kata Kim ketika sedang berjalan-jalan seiringan dengan Ayu selepas selesai makan tengahari di Sushi King, Tebrau City.

`Hai Ngah, suka sangat sampai cakap pun tak leh’ usik Farah Edora lagi.

`Angah, Kak Long dah tunang, tunang ngan anak Dato’ lak tu, Angah macam mana pulak, nak ngan sape, anak Tan Sri ke, Datuk Seri ke atau tiang seri’ usik Farah Edora lagi sambil duduk di sebelah kakaknya di birai katilnya.

`Angah kalau boleh tak nak lah ngan anak-anak orang besar-besar ni, banyak sangat protocol nanti. Itu tak leh, ini tak leh’ jawap Farah Ain sambil ketawa kecil.

`Habis, Angah nak yang macam mana’ tanya Farah Edora lagi.

`Angah nak orang biasa-biasa aje, sama macam kita. Orang yang sayang kita, menghargai kita, suka apa yang seadanya pada kita dan periang’ kata Farah Ain lagi sambil memeluk adiknya.

`Adik, macam mana pulak, asyik tanya Angah aje’ soal Farah Ain pada Farah Edora.

Farah Edora hanya mendiamkan diri sambil memeluk `Ombak Rindu’ nya.


bersambung de episod 16..

Saturday, January 7, 2012

CINTA FARAH EDORA-episod 14

sambungan dari episod 13...

Episod Empat Belas……


Awal 2010 – Johor Bahru.

Tahun baru datang lagi meninggalkan tahun sebelumnya tanpa dapat dipertahankan lagi. Ia tetap pergi dan perlu pergi meninggalkannya. 2009 perlu pergi bagi memberi laluan 2010 menjelma. Kehadirannya disambut dengan begitu meriah bagi rang muda kerana mereka akan menjadi lebih dewasa dan matang. Bagi rang pertengahan, peralihan tahun menandakan mereka semakin menghampiri usia tua dengan terpaksa meninggalkan masa muda yang begitu indah dan mengasyikkan. Benarlah kata rang tua, masa muda itu indah seindahnya. Segala yang ada di dunia rasanya ingin sekali di nikmati sepuasnya tanpa rasa berdosa melakukan setiap laku walau menyalahi norma kehidupan. Orang muda penuh dengan inspirasi dan semangat bersandarkan kekuatan diri yang ada. Mereka sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai matlamat dan hajat.

Bagi Farah Edora kedatangan tahun 2010 disambut dengan rasa gembira dan sedikit duka. Gembira kerana kakak sulungnya Farah Atillia bertunang dan sedikit duka kerana orang yang dihatinya ada rasa dijiwanya seperti mahu menjauhkan diri.

Suasana di awal tahun penuh dengan kegembiraan di pejabat Asyraf Properties. Wajah-wajah ceria terpancar di muka Puan Intan, Hussin, Norita, Encik Hakimi dan lain-lain staff. Farah Edora yang baru melangkah masuk ke pejabat melontarkan senyuman yang manis selaku gadis yang menjadi semakin matang kepada rakan-rakannya di pejabat itu. Langkahnya terberhenti dipintu masuk biliknya bila melihat kelibat seorang lelaki. Lama Farah Edora memerhatikan wajah lelaki itu. Mulutnya seperti ada sesuatu yang hendak dituturkan tetapi tidak terucapkan.

‘Farah Edora ’ tegur lelaki itu sambil merapati ke sisi Farah Edora.

‘Saya Faizallah, takkan tak kenal pulak’ kata lelaki itu lagi sambil menguntumkan senyuman gatalnya.

‘Faizal bin Tahiruddin’ soal Farah Edora pula.

‘Ha, ingat pun awak kat saya’ tutur lelaki bernama Faizal itu.

Semua anggota pejabat itu tercenggang dan terpaku sejenak melihat perbualan dua insan yang baru bersua muka itu. Mereka terperanjat kerana Faizal mengenali Farah Edora walaupun baru bersua.

‘Zal, macam mana kau kenal kat Cik Farah ni’ tanya Hussin yang berdiri di belakang Farah Edora.

‘Dia ni kawan sekolah saya masa di tingkatan lima’ jawab Farah Edora sambil berpaling ke arah Hussin yang memakai baju berwarna biru gelap berbelang-belang dan seluar hitam jenama ‘Padini’.

‘Oh, patut le kenal, kawan lama rupanya’ celah Puan Intan yang sedari tadi begitu khusyuk menonton drama sebabak di pejabat itu.

‘Faizal ni Cik Farah baru naik kerja sebab ia cuti panjang (sakit) kerana kemalangan semasa mendaki gunung Ledang. Saya ingatkan dah arwah, rupanya hidup lagi’ kata Puan Intan menerangkan kepada Farah Edora sambil berseloroh yang ditujukan kepada Faizal.

‘Akak ni tak sayang mulut betul’ tutur Faizal.

‘Oklah Faizal, Kak Intan, saya masuk dulu. Nanti kalau ada masa kita borak panjang’ kata Farah Edora bagi menamatkan ceritanya bagi menjalankan kewajipannya di pejabat pada hari itu.

Faizal dan Puan Intan meneruskan tugasan mereka manakala Hussin masuk ke bilik Farah Edora bagi menghantar fail-fail. Faizal merupakan Pembantu Operasi di pejabat itu. Ia telah berkhidmat selama tiga tahun di pejabat itu. Ia di tugaskan bagi memandu kenderaan pejabat, menghantar surat-surat, membantu tugas-tugas kerani dan menyelia peralatan pejabat. Sekembalinya di pejabat itu menambahkan kekecohan dan keceriaan. Setiap kali kelibatnya ada di pejabat, akan adalah pelbagai cerita dan jenaka yang akan di persembahkan.

‘Kak, Siti mana’ tanya Faizal kepada Puan Intan yang sedang asyik menaip sesuatu di komputernya.

‘Siti dah bersalinlah Zal’ jawab Puan Intan.

‘Dah bersalin, anak apa?’ tanya Faizal lagi.

‘Perempuan’ jawab Puan Intan sambil tangannya mengetuk-getuk komputer jenama ‘HP’nya itu.

‘Kesian suami dia, tak pasal-pasal kena puasa 100 hari’ kata Faizal sambil menghampiri meja Puan Intan.

‘Ah, kau orang jantan ni tak da fikir lain ke’ usik Puan Intan kepada Faizal yang berdiri di sebelahnya.

‘Mestilah kak, kita orang lelaki kena fikir pasal tu. 100 hari kena puasa merana badan dibuatnya, betul tak Sin’ kata Faizal lagi sambil mengajukan soalan kepad Hussin yang baru keluar dari bilik Farah Edora.

‘Eh tolong sikit, mak tak tahu tu semua sebab mak belum khawin lagi’ jawab Hussin sambil jari telunjuknya digoyang-goyang ke arah Faizal.

‘Ha ah, lupa lak aku kau belum khawin ha Sin’ kata Faizal lagi sambil mengajuk-ajuk perlakuan Hussin.

‘Ha Sin, Cik Farah Edora tu kan bujang, apa lagi kau ‘tekel’ lah dia’ usik Faizal.

‘Hotak kau, diakan bos aku,mana boleh’ jawab Hussin sambil tangannya mencubit pinggang Faizal dengan lembut hingga menyebabkan ia kegelian.

‘Selamat pagi’ tutur suara lembut dari seorang gadis yang berdiri di depan meja Puan Intan.

‘Selamat pagi, ada apa dek’ tanya Puan Intan membahasakan diri.

‘Saya Hazilah bte Bajuri nak melaporkan diri’ jawab gadis itu sambil menghulurkan surat kepada Puan Intan.

Puan Intan mempersilakan gadis bernama Hazilah itu duduk dan menyemak surat yang diberikan kepadanya. Gadis itu adalah pekerja baru yang ditawarkan bekerja di pejabat itu sebagai Pegawai Teknologi Maklumat (ICT). Jawatan itu merupakan jawatan baru yang diwujudkan di pejabat itu bagi mengendalikan rangkaian lama webb pejabat dan peralatan komputer. Hussin dan Faizal begitu khusyuk memerhatikan anggota baru di pejabat mereka sehinggakan tersentak bila di tegur oleh Encik Hakimi yang meminta fail daripada Faizal.

‘Tengok apa Faizal, Sin’ tanya Encik Hakimi.

‘Bos, awek baru tu, mantep’ jawab Faizal. Faizal tidak kekok untuk bercanda dengan Encik Hakimi kerana ia tahu atasannya itu seorang pegawai yang ‘sporting’ dan mesra.

‘Kau ni Faizal pantang nampak dahi licin, lupa anak bini kat rumah’ usik Encik Hakimi lagi.

‘Orang lelaki kan boleh kawin empat bos, yang kat umah kat umah’ jawab Faizal sambil tersenggeh pada Hussin.

‘Ha, Sin kau pandang budak tu macam nak telan aje aku tengok’ usik Faizal pada Hussin yang dilihat begitu asyik melihat gadis itu tanpa bisa mengungkap apa-apa bicara.

‘Ha gila kau, entah-entah bini orang’ kata Hussin sambil mencuit bahu Faizal.

Encik Hakimi berlalu meninggalkan Faizal dan Hussin yang leka memerhatikan pegawai baru di pejabat itu. Hakimi sempat mengerling ke arah pekerja baru yang pasti akan ditemuinya selalu. Bagi Hakimi walau secantik manapun pekerja baru atau gadis-gadis di Malaysia ini namun pandangannya hanya terarah pada satu wajah yang telah menyentap jantung hatinya. Dan yang pasti, buat ketika itu tiada siapa walau semanis Lisa Surihani akan dapat mencuri hatinya. Hatinya kini telah dimiliki dan memiliki.

Sekitar jam 10.15 pagi, kelihatan Hakimi melangkah keluar dari biliknya untuk menuju ke pintu keluar pejabat. Farah Edora yang sedang menyemak fail-fail yang di berikan oleh Hussin sempat memerhatikan peristiwa itu. Hatinya terdetik berkata sendiri kemanakan gerangannya menyebabkan sang jejaka di bilik sebelahnya begitu tergesa-gesa keluar dari pejabat. Hasutan syaitan mula menusuk ke kalbu Farah Edora yang menerbitkan rasa sakit di hati, cemburu di mata dan bercelaru di fikiran. Farah Edora berhenti dari membuka helaian kertas pada fail putih yang di pegangannya untuk termenung sejenak. Seperti ingin di keluarkan titisan air mata yang telah begitu lama bergenangan namun di pertahankan demi menjaga maruah diri agar tidak di ketahui oleh rakan-rakan di pejabat.

‘Faizal, awak ada ke mana pagi ni’ tanya Farah Edora kepada Faizal yang sedang membuat salinan pendua dokumen pejabat di mesin fotostat.

‘Tak ke mana Cik Farah, kenapa nak ajak saya jalan-jalan ke?’ jawab Faizal sambil sempat mengusik bekas rakan sekolahnya yang kini menjadi atasnya Farah Edora binti Johari.

‘Boleh tak awak hantarkan saya ke Kulaijaya’ kata Farah Edora lagi.

‘Boleh, boleh, tak da hal punya. Bila Cik Farah, pagi ni, petang, malam, saya sedia berkhidmat ’ jawab Faizal meleret-leret.

Puan Intan hanya menggelengkan kepala melihat perlakuan Faizal. Ia hanya mampu tersenyum atas gelagat Faizal yang suka mengusik rakan sekerja tanpa mengira siapa. Itulah kelebihan Faizal, ia tidak kekok dan malu untuk mengusik yang menyebabkan keadaan pejabat akan menjadi riuh rendah. Topik yang sedikit berbaur kelucahan tidak melampau seringkali menjadi intipati hujahnya. Rakan-rakan terutamanya Siti Mahriza pasti akan tergelak besar bila mendengar cerita yang di sampaikan.

‘Kau ni masuk raja lawak aje lah Zal’ kata Hussin pada suatu ketika sebelum Faizal cedera kerana kemalangan.

10.45 pagi Farah Edora keluar dari pejabatnya untuk menuju ke destinasi yang telah dihajati. Dalam perjalanan menuju ke tapak projek pembinaan Johor Prima Outlet (JPO) di daerah Kulaijaya, Farah Edora menghabiskan masa berbual-bual dengan rakan yang selalu menganggunya semasa di sekolah iaitu Faizal bin Tahiruddin. Farah Edora tahu bahawa Faizal telah berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan. Farah Edora juga tahu isteri Faizal bekerja sebagai pendidik di Maktab Sultan Abu Bakar (English College ) Johor Bahru. Farah Edora juga telah tahu Faizal tinggal di mana dan memandu kenderaan apa untuk ke pejabat. Itulah kehebatan lelaki, mereka tidak segan silu untuk memberitahu segalanya tentang mereka. Bagi kaum Adam ini, jika ada sang gadis yang masih meminati atau tertarik pada mereka yang telah ketahuan statusnya, siapa yang harus di persalahkan.

Di tapak projek pembinaan JPO, Farah Edora terus ke bahagian dalam bangunan. Encik Hakimi yang telah sampai lebih awal kelihatan sedang memberi arahan kepada kontraktor yang sedang membuat kerja-kerja. Farah Edora memberi ucap salam kepada Encik Hakimi dan selamat pagi kepada kontraktor berbangsa cina. Faizal diarahkan balik ke pejabat oleh Hakimi dan Farah Edora akan pulang bersamanya.

Selesai memberi arahan dan melawat sekitar tapak projek itu, Hakimi dan Farah Edora beredar untuk pulang ke pejabat. Sepanjang perjalanan Farah Edora hanya mendiamkan diri dan hanya Hakimi yang rancak berbual. Riak wajahnya yang sentiasa ceria dan memancarkan sinar yang indah mendukakan hati Farah Edora. Mahu saja rasanya Farah Edora menjerit sekuat hati, namun ketinggian harga diri menghalang dari mulutnya melontarkan kata-kata yang bias menyakiti hati orang lain. Farah Edora masih ingat lagi akan pesanan mamanya agar menjaga tatalaku dan bicara agar tidak menyinggung hati orang lain walau serendah manapun taraf orang itu. Baginya biarlah hatinya terluka asalkan hati orang lain terpelihara.

‘Ha, Farah kenapa senyap aje ni, ada masalah ke?’ tanya Hakimi bila memerhatikan Farah Edora sepi tanpa bicara.

‘Takdalah Encik Hakimi, biasa aje. Cuma tengok ada orang tu lain macam aje sekarang’ jawab Farah Edora pendek.

‘Sapa, saya ke awak maksudkan’ tanya Hakimi sambil menduga soalan Farah Edora.

‘Sapa makan gula rasalah manisnya’ kata Farah Edora mengusik.

‘Lain macam aje bunyi bidalan tu Farah. Saya macam biasa ajelah Farah tak berubah apa pun, cuma sekarang..’ jawab Hakimi dengan jawapan yang diakhiri persoalan.

‘Cuma sekarang hati telah dimiliki’ kata Farah Edora menyambung kata akhir Hakimi.

Hakimi hanya mampu tersenyum tanpa dapat berkata apa-apa lagi. Rahsianya seperti hampir pecah dan terungkai. Jika ia seorang selebriti tentu ceritanya akan tersebar di laman-laman webb, blog dan akhbar tempatan. Hati Farah Edora bertambah luluh bila melihat senyuman yang begitu menyakitkan jiwanya. Naluri seorang wanitanya begitu terasa sedih, pilu dan hiba. Mahu sahaja ia meminta Hakimi memberhentikan ia di tepi jalan dan pulang sendirian ke pejabat. Namun ia perlu berhati-hati agar Hakimi tidak mengesyaki sesuatu. Jika tidak tentu Hakimi akan tahu bahawa syaitan telah membisikkan rasa cemburu, sakit hati dan kecewa yang amat sangat pada orang yang tidak tahu bahawa ia ada menaruh hati dan kasih kepadanya.

Pada kebiasaan bila keluar bersama ke lokasi tapak projek, Hakimi dan Farah Edora akan singgah di mana-mana restoran tanpa bintang untuk makan tengahari. Namun kini, situasi begitu tidak berlaku lagi. Hakimi kenyang kerana telah bersarapan bersama orang yang telah mencuri hatinya dan sentiasa kenyang dengan santapan cinta bersulam kasih. Lain bagi Farah Edora, ia memang amat lapar kerana tidak sempat bersarapan semasa ke tapak projek di Kulaijaya. Nasi goreng mamanya yang dijamah pada pagi sebelum ke pejabat sahajalah yang menjadi pengalas perutnya. Namun kini ianya telah hilang menjadi darah daging dan perlu di jana kembali bagi mengembalikan tenaga.

Bangunan terbengkalai umpama gajah putih yang terletak di sebelah kiri lebuhraya kulai/Johor Bahru menjadi saksi rasa hiba dan kelaparan Farah Edora.


bersambung de' episod 15.....