Saturday, April 21, 2012

CINTA FARAH EDORA episod 16


Episod  Enam Belas……

sambungan dari episod 15....

Risik & Tunang
Februari 2010

          Pertunangan Aqeel Hakimi begitu meragut rasa hati seorang gadis bernama Farah Edora. 14 Februari 2010 meninggalkan suatu catatan yang tidak sihat di minda dan jiwa gadis kecil molek itu.  Hati, perasaan dan mindanya amat terganggu.  Farah Edora tidak menyangka bahawa pesaingnya dalam acara cinta adalah orang yang paling dekat dengannya.
         
Ingat lagi Farah Edora ketika rombongan keluarga Aqeel Hakimi datang bertandang ke rumahnya selepas waktu zuhur berlepas pergi dan sebelum waktu asar menyambut tiba.  Ia begitu terperanjat bila mengetahui bahawa tetamu yang datang pada petang itu adalah dari keluarga Aqeel Hakimi.  Persoalan bermain di minda sihatnya tentang tujuan keluarga Hakimi datang.  Hatinya berdetik gembira jika tujuan mereka adalah untuk merisik. Tapi persoalannya kenapa Hakimi tidak memaklumkan terlebih dahulu kepadanya.
         
          Dalam masyarakat melayu, kebiasaannya jika akan berlaku sesuatu majlis seperti pertunangan, acara merisik dan perkahwinan yang melibatkan dua keluarga, pasangannya akan terlebih dahulu telah merencanakannya.  Wakil yang hadir adalah sebagai pelengkap adat melayu yang dijunjung tinggi.  Jika pada zaman dahulu sekitar tahun tujuh puluhan dan sebelumnya mungkin ibubapa yang mengaturkan segala perjalanan hidup anak mereka.  Anak yang bakal di kahwinkan ketika itu biasanya tidak mengenal dan mengetahui pasangan mereka. Mereka hanya akan tahu selepas acara merisik dan bertunang di jalankan.  Tiada perbincangan awal dari pasangan kerana mereka tidak mengenal antara satu sama lain dan jika kenal pun sukar bagi mereka untuk berjumpa kerana batasan adat yang begitu tebal ketika itu.

          Farah Edora segera masuk ke kamarnya dan menyalin baju kurung melayu untuk meraikan tetamu yang datang.  Ketika ia sedang bersiap-siap ia melihat kakaknya Farah Ain telah tersergam indah dengan baju kurung melayu berwarna biru dan bersedia untuk turun ke tingkat bawah rumah mereka.  Farah Edora yang tergesa-gesa merapikan wajah melupakan sejenak kakaknya yang baru melangkah keluar dari bilik.  Selesai berhias ia terus berlari-lari anak ke ruang tamu bagi membantu mamanya menyediakan jamuan ringan untuk tetamu.  Sampai di ruang dapur ia melihat kakaknya Farah Ain sedang menuang air di cawan putih berbunga mawar merah. Farah Edora terkilan kerana sedikit lewat hadir ke dapur bagi menyediakan hidangan untuk tetamunya.  Ia segera menyapai dulang yang telah penuh dengan cawan yang telah di isi dengan air teh `O’ oleh kakaknya untuk di hantar kepada tetamu yang sedang rancak berbicara di ruang tamu rumahnya.  Farah Ain hanya membiarkan Farah Edora membantu mengangkat minuman itu kerana ia perlu membawa suatu lagi dulang yang di penuhi dengan kuih-muih.   
         
Tetamu yang datang saling berpandangan bila melihat kelibat dua anak gadis melayu yang manis berbaju kurung dan bertudung rapi mendatang sembah bagi meraikan mereka yang hadir.  Rombongan seramai lima orang dengan diketuai oleh emak Aqeel Hakimi terpikat dengan keterampilan dua anak gadis itu. Persoalan timbul di hati Hajah Rubiah siapakah gadis yang dimaksudkan oleh Hakimi.  Sejurus kemudian tampil pula Farah Atillia bersama Hajah Maimunah duduk di sofa di sebelah Hajah Rubiah. Hajah Rubiah sekali lagi terpaku kerana melihat kelibat seorang lagi anak gadis yang kelihatan lebih dewasa dan matang hadir bersebelah isteri ketua rumah. Sekali lagi persoalan timbul di mindanya.  Farah Ain dan Edora tidak sama duduk diruang tetamu `vip’, mereka duduk bersila sopan di penjuru tepi yang kira-kira dua meter dari tetamu yang hadir.  Hakimi tidak turut serta menerjah ke dalam rumah pemilik rumah.  Ia hadir hanya untuk menunjuk jalan yang telah diberikan oleh anak gadis pemilik rumah kepada ahli rombongan yang hadir bagi urusan merisik.

Setelah keadaan tenang, Hajah Rubiah mula mengatur bicara. Salam dari suami yang tidak dapat hadir kerana keuzuran menjadi ayat awal bicaranya bagi makluman Haji Johari dan isteri.

`Tuan haji dan puan hajah, kehadiran kami membawa hajat. Itupun kalau pihak tuan rumah sudi menerima’ tutur Hajah Rubiah dengan lembut dan santun.

          `Kami sekeluarga tiada halangan dan berbesar hati atas kesudian puan serta kerabat hadir ke teratak kami yang sebegini rupa’ jawab Haji Johari sebagai ketua tuan rumah.

          `Hajatnya pun kami dah tahu, Cuma hanya ingin kepastian dan kata putus sahaja’ kata Hajah Maimunah pula selaku pembantu ketua tuan rumah.

          Haji Johari dan isteri sememangnya telah mengetahui akan hajat keluarga Hakimi bertandang ke rumahnya. Anak gadisnya telah seminggu awal memaklumkan tentang kehadiran tetamu mulia itu. Namun begitu, proses merisik perlu dilakukan secara rasmi sebagai tanda persetujuan antara dua pihak demi kelangsungan adat melayu yang telah lama bertapak dijiwa mereka yang masih memeliharanya. Farah Ain hanya tersenyum dan tidak kepada Farah Edora.  Ia begitu binggung dan tidak berupaya untuk senyum atau gembira. Farah Edora tidak faham akan jawapan daripada mamanya.

          `Tuan haji dan puan hajah, kami datang ini bukan sahaja untuk merisik tetapi kalau boleh mahu untuk meminang sekali, itupun jika bunga di taman tiada penghalang’ kata Hajah Rubiah menyambung bicara selaku ketua rombongan.

          Pada zaman dahulu biasanya ketua rombongan bagi acara merisik atau meminang akan dilakukan oleh wakil yang berwibawa dari kalangan keluarga atau orang penting di sesuatu kampung atau perumahan. Mereka yang diberi kuasa sebagai wakil akan menyampaikan hajat daripada ibu bapa pihak lelaki. Ibu dan bapa pihak lelaki tidak sekali-kali akan hadir. Ia berbeza dengan zaman sekarang yang lebih terbuka. Ibu bapa lebih suka hadir sendiri bagi menyampaikan hajat anak mereka dan membuat kata putus.  Mereka bukan tidak percaya kepada wakil yang diberi kuasa tapi kurang sabar untuk mendengar keputusan dari pihak perempuan. Lagi pula ia tidak menyalahi adat, cuma menjadi `trend’.
         
`Pihak kami tiada halangan atas perkara itu jika cukup syaratnya, lagi pun bunga masih elok tiada siapa yang terawal memetik’ jawab Haji Johari pendek.

`Alhamdulillah, nampaknya tangan dihulur telah di sambut mesra’ tutur Hajah Rubiah sambil mengeluarkan sebentuk cincin bertatah permata yang disimpan oleh pengiring di sebelahnya.

Apabila persetujuan telah di terima, Hajah Rubiah mohon izin kepada ibubapa bakal menantunya untuk menyarung cincin ke jari manis si pemilik diri sebagai tanda ikatan suci terjalin indah.  Hajah Rubiah menghampiri dua anak gadis manis lalu bertanya kepada empunya diri.

`Maaf, yang mana satu Farah Ain’ soal Hajah Rubiah tanpa berselindung bahawa ia tidak mengenali rupa paras bakal menantunya itu.

Farah Ain segera senyum sambil memperkenalkan diri.  Tangan kirinya di hulurkan kepada bakal ibu mertuanya untuk memahkotakan cincin yang dikhaskan untuknya. Farah Ain telah awal mengenali cincin itu kerana kedai emas Li Wah di Holiday Plaza adalah lokasi penemuannya.  Farah Edora yang duduk bersebelah dengan kakaknya itu terkedu seketika. Ia bagaikan seorang ibu tua yang menerima berita kematian anak yang telah lama hilang di perantauan.  Farah Edora bagaikan burung yang hilang sayap untuk terbang. Namun demi maruah keluarga yang perlu di jaga, ia tabah.  Hanya Allah yang maha mengetahui tentang hatinya ketika itu.    

Selesai melakukan acara adat menyarung cincin, Hajah Rubiah segera kembali ke tempat duduk di ruang tamu rumah Haji Johari dan Hajah Maimunah untuk meneruskan agenda.

`Tuan Haji dan Puan Hajah, saya di sini mohon satu lagi hajat, itupun kalau dipersudikan jua’ tutur Hajah Rubiah setelah lebih kurang dua minit duduk di kerusi di mana ia tinggalkan tadi.

`Wah, lain macam aje bunyinya puan’ tanya Haji Johari ingin tahu.

`Begini, Tuan Haji dan Puan Hajah, kalau di persetujukan jua, saya mohon agar majlis pernikahan dan persandingan mereka dapat di adakan dalam tempoh terdekat.  Kalau diizinkan sekitar bulan mei ini’ terang Hajah Rubiah lagi.

Haji Johari dan isteri agak tidak selesa dengan permohonan keluarga pihak lelaki. Tempoh yang di pohon terlalu dekat dan menyukarkan mereka. Bagi pihak keluarga perempuan biasanya mereka perlu membuat persiapan lebih kurang enam bulan sebelum majlis dilangsungkan.  Masa tiga bulan yang dipohon oleh keluarga pihak lelaki begitu sukar di terima.  Hajah Rubiah awal-awal lagi telah merasakan bahawa bakal besannya akan kurang senang dengan tempoh masa yang ia mahukan. Untuk itu Hajah Rubiah perlu menerangkan sebab musabab keluarganya mohon agar majlis pernikahan dapat dilangsungkan segera.

Kesihatan Haji Idris, ayah kepada Hakimi menjadi sebab utama.   Haji Idris yang sedang sakit tidak dapat hadir sama ke majlis merisik itu dan mewakilkan isterinya untuk menyampaikan hajat anak mereka Hakimi. Sakit barah otak yang dialami oleh Haji Idris tidak memungkinkan ia dapat bertahan lama.  Doktor peribadinya telah awal-awal lagi memaklumkan jangka hayatnya. Oleh itu, sebelum nafas terhenti ia mahu melihat sendiri satu-satunya anak lelaki pewaris segala pusakanya berkahwin. 
Haji Johari dan isteri terkedu mendengar butiran cerita. Atas dasar itu mereka sebulat suara bersetuju setelah mendapat persetujuan daripada Farah Ain.  Persetujuan Farah Ain amat penting demi masa depannya.  
Persetujuan dicapai oleh kedua belah pihak bagi mengadakan majlis terindah itu pada bulan Mei. 

Farah Edora berlalu membawa hati yang seperti telah mati.



bersambung ke episod 17.....