Sunday, December 4, 2011

CINTA FARAH EDORA-episod 12

Episod Dua Belas……

sambungan dari episod 11.....


2010-Brisbane, Australia…

24 Mei 2010.


Farah Edora mengemaskan pakaian yang di bawanya dan dimasukkan ke dalam beg berodanya. Ia melihat jam ditangan. Tindakannya semakin cepat dan pantas. Selesai berkemas, ia merapikan diri di hadapan cermin. Selesai merapi diri ia menarik begnya kemuka pintu. Ia berhenti sejenak bagi melihat sekitaran dalam bilik hotel agar tiada barang-barang yang ketinggalan kerana jika ada barang yang tinggal entah bila pula ia akan dapat di ambil semula. Lapangan Terbang Antarabangsa Brisbane merupakan destinasi yang dituju sebelum ke destinasi sebenarnya iaitu rumahnya di Bandar Baru Uda, Johor Bahru.

Sampai di Lapangan Terbang Senai pada sekitar jam 8.00 malam, Farah Edora tergesa-gesa berjalan menuju ke pintu balai berlepas untuk mencari teksi bagi pulang. Sedang asyik berjalan sambil menarik begnya, Farah Edora di sapa oleh seseorang dari sebelah kiri belakangnya. Farah Edora terus berjalan dan kedengaran suara yang memanggilnya semakin kuat. Farah Edora berhenti sejenak dan berdiri tegak. Ia amat kenal dengan suara yang memanggilnya. Suara itu datang dari hati naluri seorang manusia berjantinakan lelaki tulin.

`Daus’ keluar satu nama dari hati naluri seorang manusia berjantinakan perempuan bernama Farah Edora.

Farah Edora tidak berani untuk menoleh ke belakang. Hatinya bercampur gaur antara kesedihan dan kegembiraan. Sedih sudah termaklum tapi gembira tak tahu kenapa.

Dalam pada itu, lelaki yang memanggilnya telah berada betul-betul disebelahnya. Lelaki itu berdiri seiring dengannya. Kepalanya dipusingkan ke arah kanan dan matanya tepat memandang sisi muka perempuan yang telah begitu lama hilang dari pandangannya. Mereka berpisah setelah tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan sejak itu tidak pernah bersua muka dan bertukar kata.

`Dora’ tegur lelaki bernama Firdaus Hambali bin Razali.

Farah Edora tidak berkata apa-apa hanya memusingkan kepalanya ke arah Firdaus dan memberikan senyuman seadanya. Firdaus memerhati sepuasnya wajah perempuan yang memandangnya tanpa berkata-kata lagi. Suaranya juga seperti sudah hilang di telan deruan bunyi enjin kapal terbang Air Asia yang baru melabuhkan pesawatnya ke landasan di Lapangan Terbang Senai itu.

`Daus apa khabar’ tutur Farah Edora dengan lembut.

`Alhamdulillah baik, Dora pulak apa khabar’ jawab Firdaus dengan muka yang manis.

`Baik sekali’ jawab Farah Edora ceria.

Mereka berdua saling berpandangan dan senyum puas kerana telah dapat bersua setelah sekian lama terpisah oleh perjalanan masa yang tak mungkin akan berundur. Disebabkan penumpang yang ingin menaiki teksi seperti mereka berdua ramai, Firdaus dan Farah Edora mengambil keputusan untuk duduk dibangku menunggu yang disediakan di situ. Sambil duduk, mereka berbual panjang. Suara tawa mengiring sepanjang perbualan mereka. Kesedihan yang dibawa oleh Farah Edora dari Brisbane seperti sudah hilang dan terbang bersama kapal terbang yang membawa ia pulang.

Pergi hiba, datang cinta.


Johor Bahru 2009……..


Hakimi dan Farah Edora berhenti sejenak di Restoran Singgah Selalu di persisiran pantai Lido bagi menikmati makan tengahari kerana masa makan tengahari telah sampai. Farah Edora hanya mengekori Hakimi kerana seniornya di pejabat dan juga atasnya itu tempat ia menumpang kenderaan pada hari itu. Hakimi mengambil meja yang terletak di bahagian dalam kerana ia berhawa dingin dan lebih selesa. Kepanasan yang meluap-luap semasa berkunjung ke tapak projek perumahan membuatkan Hakimi memilih ruang itu bagi merehatkan badan untuk makan tengahari. Hakimi tidak risau untuk makan berduaan dengan Farah Edora kerana tiada wanita bergelar isteri yang akan marah dan perempuan yang dipanggil kekasih untuk cemburu kerana ia belum memilik kedua-duanya.

Hakimi di usia yang sepatutnya telah dimiliki dan mempunyai zuriat masih menangguhkan hasratnya. Ia tidak tahu bilakah akan menamatkan zaman bujangnya. Soal kerjaya, rumah dan wang ringgit tidak menjadi halangannya. Dengan jawatan yang dimiliki tidak memungkinkan pasangannya akan hidup susah dan kelaparan. Ia ada segalanya. Tapi yang sepatutnya ia ada seperti telah hilang sebelum ia inginkan. Ibunya di kampung sering kali bertanya membuatkan Hakimi seperti malu untuk pulang dan sering member alasan untuk tidak kerap pulang agar persoalan yang sama tidak diajukan oleh ibunya dan keluarganya di kampung.

`Encik Hakimi, maaf saya tanya sikit boleh’ kata Farah Edora ketika sedang asyik menyuap nasi berlaukkan gulai lemak ikan kering, sayur kerabu dan sotong masak sambal. Hakimi hanya menganggukkan kepala tanda bersetuju menerima soalan yang ingin diajukan oleh Farah Edora yang makan di meja empat segi dan duduk di hadapannya.

`Encik Hakimi, isteri encik tak marah ke saya makan dengan encik berdua ni’ kata Farah Edora dengan nada berani. Soalan itu sebenarnya amat berat dan takut untuk Farah Edora ajukan kepada Hakimi. Namun demi menjaga hati manusia sekaumnya ia beranikan diri.

Sambil tersenyum Hakimi menjawab.

`Farah, tiada wanita bernama isteri yang akan marah atau cemburu kerana ia belum hadir dalam hidup saya’.

Farah Edora sedikit terperanjat dan lega. Pada pandangannya yang masih muda, Hakimi dirasakan telah lama berkeluarga dan mungkin telah memiliki dua orang anak. Farah Edora juga menjangkakan Hakimi mempunyai seorang isteri yang cantik dan menawan serta bertudung.

`Jangan takutlah Farah, ke awak yang takut ada somebody look us’ Usik Hakimi sambil memerhatikan tepat ke wajah Farah Edora yang berhenti makan. Farah Edora tersipu malu.

`Saya baru aje kerja encik Hakimi, mana ada boy friend lagi’ tutur Farah Edora sambil tergelak kecil.

`Ia ke, setahu saya budak-budak sekolah sekarang, baru tingkat empat atau lima dan ada pak we. Inikan pulak awak yang cute ni ’ kata Hakimi lagi.

`Masa sekolah tu, cinta monyet aje, encik Hakimi’ jawab Farah Edora lagi.

Hakimi dan Farah Edora sama-sama tergelak kecil. Gelagat mereka di perhatikan oleh pelanggan yang berada bersebelah dan ianya tidak dihiraukan oleh mereka.

Selesai makan tengahari mereka segera berangkat pulang ke pejabat. Sebelum sampai di pejabat Hakimi berhenti sejenak di Masjid Sultan Abu Bakar untuk solat zuhur. Farah Edora yang tidak boleh solat, hanya menunggu di dalam kereta sambil melihat keindahan Masjid Sultan Abu Bakar. Farah Edora keluar sebentar untuk melihat dengan lebih dekat seni bina masjid itu. Menurut cerita datuknya, Masjid tersebut di bina dengan menggunakan telur ayam. Putih telur dijadikan sebagai plaster untuk menutupi batu-batu di seluruh dinding-dinding. Bila dilihat dengan lebih dekat, Farah Edora yang begitu akrab dengan dunia seni bina amat percaya dengan cerita datuknya. Baginya perkara itu tidak mustahil kerana orang-orang zaman dahulu kala memang terkenal dengan ketekunan dan keajaiban. Jika tidak masakan terbinanya Peramid di Mesir, Taj Mahal di India, Tembok Besar di China, Chandi Brobodour di Indonesia dan banyak lagi binaan ajaib di seluruh dunia. Kedudukan Masjid Sultan Abu Bakar yang terletak di atas bukit dan menghadap Pantai Lido serta Singapura begitu indah sekali. Udara yang nyaman dari tiupan angin Selat Tebrau mengkhayalkan sejenak pengunjung yang datang untuk solat dan melawat. Pada hari cuti pada Sabtu dan Ahad, ramai pengunjung baik dari dalam dan luar negeri yang datang berkunjung ke Masjid Sultan Abu Bakar itu. Kesibukan penjual-penjual lukisan, kraf dan sejadah menceritakan segalanya.

Di pejabat, Farah Edora telah di minta membuat laporan berhubungan dengan projek perumahan yang di lawat bersama Hakimi. Laporan perlu di berikan kepada pengarah untuk di bawa ke dalam mesyuarat bulanan pejabatnya. Untuk itu, Farah Edora sekali lagi memerlukan khidmat Hussin untuk membantunya menyediakan laporan mengikut format terdahulu. Farah Edora di beri masa dua hari oleh Encik Hakimi bagi menyediakan laporan tersebut. Sebagai Arkitek Kanan pejabat itu, Hakimi perlu menyemak terlebih dahulu semua laporan sebelum di majukan kepada pengarah.

Hari-hari berlalu mematangkan Farah Edora pada setiap tugasan dan langkahnya. Tunjukajar yang diberikan oleh Hakimi banyak membantunya yang masih mentah dan muda. Banyak ilmu baru tentang pekerjaan sebenar yang diperolehi. Ilmu yang dipelajari hanya menyumbang lima puluh peratus dan selebihnya adalah apa yang ditempuhi dalam realiti sebenar. Kerja bagi Farah Edora amat berbeza dengan belajar. Belajar untuk tahu, tapi kerja untuk beri tahu.

Hakimi dan Farah Edora sering kelihatan berdua kerana perlu ke luar pejabat bagi melawat tapak pembinaan. Disebabkan Farah Edora masih belum memiliki kereta, maka kereta Hakimilah yang menjadi kenderaan rasmi Farah Edora untuk ke tapak. Keakraban mereka telah dicemburui oleh Norita setiausaha pejabat yang telah lama menaruh hati pada encik Hakimi. Empat tahun Norita memasang umpan, namun tidak mengena. Jika dilihat dari mata kasar, Norita walaupun tak secantik Neelofa, tapi punya daya tarikan yang tersendiri. Pedih terasa di hati Norita bila kerapkali melihat Farah Edora dan Hakimi seiringan keluar dan masuk ke pejabat. Norita walaupun mencemburui Farah Edora dan Hakimi, namun ia tidak pernah menunjukkan perkara itu kepada rakan-rakan di pejabat. Namun perkara itu dapat dihidu oleh Puan Intan yang seringkali terlihat perubahan pada muka Norita bila melihat Farah Edora keluar bersama Hakimi. Pengalaman hidup yang lama dan telah berkeluarga menyebabkan Puan Intan dapat mengetahui perkara itu.

`Belum balik lagi Farah’ tegur Hakimi bila melihat Farah Edora masih tekun menaip sesuatu di komputer di atas mejanya pada suatu petang selasa kira-kira jam 5.40 petang.

`Oh, Encik Hakimi. Saya lambat sikit balik sebab nak selesaikan laporan’ jawab Farah Edora pendek sambil meneruskan taipannya.

Hakimi menghampiri meja Farah Edora dan duduk di kerusi di depan meja.

`Farah, kerja ni kalau nak di ikutkan sampai bila-bila pun tak habis. Berhentilah dulu, esokkan masih ada’ usik Hakimi sambil tangannya mengetuk-getuk kecil meja Farah Edora.

Farah Edora berhenti menaip dan memandang tepat ke muka Hakimi. Hakimi tenang dan tersenyum kecil.

`Encik Hakimi, saya ni kalau kerja tak siap, kat rumah nanti nak makan dan tidur pun tak lena’ kata Farah Edora membalas pantun Hakimi.

`Farah, Farah, awak ni macam……tutur Hakimi lagi dan dengan tiba-tiba terberhenti pada ayat terakhirnya yang mengundang persoalan pendengarnya.

`Macam siapa Encik Hakimi’ tanya Farah Edora lagi.

`Oh……….., tak da lah Farah. Berani ke awak duduk sorang-sorang kat opis ni. Nanti kot-kot ada yang menegur baru tau’ Hakimi menjawab sambil mengelak bagi memberikan jawapan. Hakimi sebenarnya hendak menyatakan bahawa sifat diri Farah Edora yang tidak suka menangguhkan kerja sama seperti kawan baiknya dahulu semasa bersekolah menengah pada tahun 2001.

Farah Edora yang mendengar cerita separa seram encik Hakimi segera `shutdown’ komputernya dan mengemaskan mejanya untuk segera pulang. Hakimi yang telah bangun untuk beredar ketawa kecil melihat perlakuan Farah Edora.

`Encik Hakimi, saing lah’ panggil Farah Edora yang berlari-lari anak mengejar Hakimi yang telah mula berjalan ke arah pintu keluar.

Farah Edora akan pulang bersama kakaknya Farah Ain yang menunggu di tempat letak kereta. Hakimi pula tidak terus pulang kerana hendak ke Pustaka Buku di Plaza Angsana untuk membeli novel terbaru karya Ramlee Awang Murshid.

`Lambat Dora’ kata Farah Ain bila Farah Edora selesai duduk di sebelahnya di tempat duduk hadapan kereta jenama Atos jenis automatik berwarna biru gelap. Farah Edora hanya mengangkatkan keningnya sambil mengoyang-goyangkannya dan berkata `biasa’ kepada kakaknya. Farah Ain yang telah membawa adiknya pulang sejak hari pertama Farah Edora bekerja memahami isyarat adiknya.

Farah Ain yang telah menamatkan pengajian di peringkat `master’ di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dalam jurusan undang-undang telah bekerja di firma guaman di Johor Bahru. Seperti kakak dan adiknya, Farah Ain juga lebih selesa menabur bakti dengan bekerja di negeri kelahirannya di Johor walaupun sebelum ini rela bekerja di mana-mana negeri di semenanjung.

`Angah, singgah Angsana jap, adik nak beli baranglah kat sana’ kata Farah Edora ketika perjalanan mereka telah melepasi Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Farah Ain hanya menganggukkan kepala, walaupun dimukanya terpancar sedikit kerutan kerana tingkah adiknya. Farah Ain sedikit marah kerana ia menunggu Farah Edora agak lama di kereta dan kini terpaksa berhenti pula untuk ke Plaza Angsana. Namun kemarahan itu hanya terungkap dalam hatinya dan tidak di luahkan. Farah Ain tahu sikap Farah Edora yang mudah merajuk bila di marahi. Sampai di Plaza Angsana, Farah Ain meletakkan keretanya di tempat letak kereta di bahagian luar bangunan berdepan dengan gerai-gerai makan yang terletak di aras bawah di luar bangunan Plaza Angsana. Di gerai itu majoriti peniaganya ialah orang melayu. Farah Ain tidak mengikut adiknya untuk ke bahagian dalam bangunan dan hanya duduk di gerai. Milo ais menjadi penghilang dahaga dan menyejukkan api kemarahan kecilnya.

Tiba-tiba sedang asyik menikmati milo ais, telefon jenama samsungnya berdering. Gemersik suara penyanyi Maria Carrey memanggil Farah Ain untuk membaca mesej yang dihantar oleh adiknya berbunyi;

"Agh, klu Agh nk lik dlu, liklh. Adk lmbt skt sbb jmp kwn kt kdi”

Api kemarahan kecil yang hampir sejuk oleh simbahan air milo ais kembali semarak dek perlakuan Farah Edora. Farah Ain segera menghabiskan milo aisnya untuk segera beredar. Ia bangun dan mula mengorak langkah ke keretanya.

`Ayu, Ayu’ tiba-tiba kedengaran dari kejauhan suara orang memanggil nama itu menangkap ke corong telinga Farah Ain.

Farah Ain yang tergesa-gesa berjalan tiba-tiba berhenti. Kakinya terasa berat dan kaku untuk bergerak ke depan. Badannya langsung tidak berdaya untuk berpusing ke belakang. Farah Ain begitu tersentak. Sudah sekian lama nama itu tidak di sebut oleh orang yang bersuara itu. Farah Ain tahu hanya seorang manusia dalam dunia ini dari kaum Adam yang memanggil nama itu untuk di tujukan kepadanya. Gementar seluruh tubuh Farah Ain. Di belakangnya dirasakan ada seseorang sedang menghampirinya dengan begitu cepat.

`Ayu’ kata tuan punya suara yang telah berada betul-betul di hadapan Farah Ain dengan penuh sopan.

Farah Ain terdiam dan memandang dengan tajam ke wajah tuan punya suara.

`Kim’ kata Farah Ain setelah lama terhenti bagaikan terkunci mulut oleh mangga besi.

Hanya tiga perkataan yang bisa diucapkan oleh Farah Ain. Farah Ain betul-betul terperanjat kerana tidak menyangka dapat bertemu kembali dengan lelaki yang pernah menjadi teman rapat (best friend) bukan `boy friend’ semasa di tingkatan lima Sekolah Menengah Sultan Ismail (SSI) Johor Bahru.

`Ayu, lama betul kita tak jumpa he’ kata Kim sambil mengukirkan senyuman yang begitu menyenangkan.

Farah Ain/Ayu hanya menganggukkan kepala dan tersenyum ikhlas kepada kawan lamanya Kim. Bermula saat itu perbualan adalah antara Ayu dan Kim.

Ayu dan Kim akhirnya mengambil keputusan untuk duduk di meja gerai di ruang tengah Plaza Angsana bagi melepaskan kerinduan masing-masing. Mereka berbual panjang. Perbualan yang di sulami dengan gelak tawa dan tangisan kecil. Farah Ain mengalirkan air mata kerana begitu gembira dapat bertemu dengan rakan lamanya Kim.

`Ayu, saya tak pernah lupa dan dapat melupakan awak walaupun sejauh mana saya pergi. Sejak kita berpisah setelah tamat tingkatan lima, saya cuba untuk menghubungi awak namun tak berjaya. Ayah saya selepas saya tamat menduduki SPM telah bertukar tempat kerja lagi kerana di naikkan pangkat. Kami sekeluarga berpindah ke Perak dan menetap di Bandar Ipoh selama tiga tahun lebih’ kata Kim panjang lebar bagi menjelaskan kepada Ayu yang begitu tekun mendengarnya bercerita.

Ayu masih tidak bercerita tentang kisahnya, tapi hanya tekun mendengar dan melihat wajah jejaka yang begitu lama tak bersua. Ia merasakan bagai berada di alam mimpi kerana masih tak percaya dapat bertemu dengan rakan lamanya itu.

`Kim, saya cuba cari awak dalam laman `facebook’, tapi tak pernah jumpa. Awak pakai nama apa ha? Tanya Ayu membuka bicara.

`Maaf Ayu, saya tak punya akaun dalam facebook’ jawab Kim pendek.

`Kalau saya ada akaun sejak dari dulu tentu kita dapat berjumpa lebih awal’ sambung Kim seperti menyesal kerana tidak membuka akaun di laman facebook.

Kim masih ingat di pejabatnya hampir semua kakitangan mempunyai akaun facebook. Pernah sekali setiausaha pejabatnya menyarankan agar ia membuka akaun, tapi Kim menolak dengan alasan laman itu membuang masa dan melekakan. Kini ia merasakan bahawa ia silap. Setiap kemudahan dalam teknologi banyak membawa munafaat kecuali orang yang mengambil kesempatan atasnya.

`Takpalah Kim, akhirnya kita jumpa juga’ jawab Ayu sambilan ketawa kecil.

Mereka menamatkan perbualan untuk pulang ke rumah masing-masing kerana waktu telah menghampiri malam. Farah Ain/Ayu perlu pulang segera sebelum maghrib agar tidak ditegur oleh mamanya. Sejak kecil hingga remaja Farah Ain dan adik beradiknya telah diberi ingatan bahawa mereka perlu pulang ke rumah sebelum senja. Pertemuan pertama itu membuka lembaran baru untuk mereka meneruskan tali persahabatan atau lebih dari itu. Status mereka yang masih teruna/dara dan belum ada apa-apa ikatan memberi restu untuk mereka berhubungan.

`Hai, Angah baru balik. Adik ingat dah sampai dulu’ tegur Farah Edora yang sedang mengusap-usap rambutnya yang panjang selepas selesai mandi bila melihat kakaknya masuk ke bilik.

`Angah ada hal sikit le’ jawab Farah Ain sambil tersenyum simpul.

`Hai, lain macam aje. Ada apa-apa ke ni’ soal Farah Edora lagi sambil menghampiri kakaknya.

Farah Edora merapati kakaknya dan mula mengeletek kedua-dua pinggang kakaknya hingga menyebabkan Farah Ain ketawa semaunya dan melarikan diri agar tidak di usik oleh adiknya. Farah Edora yang memang suka menyakat kakaknya masih tidak melepaskan rangkulannya hingga menyebabkan mereka berdua tercampak di atas katil. Keriuhan suasana itu menyebabkan pintu bilik mereka diketuk bertalu-talu oleh seseorang dari luar.

`Angah adik, kan dah nak maghrib ni, tak boleh diam sikit ke. Sikit lagi kan nak azan’ kata Farah Atillia dengan suara sedikit kuat bagi mengingatkan adik-adiknya.

Selepas makan malam Farah Ain terus ke kamarnya tanpa mengikuti berita jam 8.00 malam di TV3. Perlakuannya diperhatikan oleh Farah Edora. Farah Edora juga mengambil keputusan untuk ke kamarnya bagi mengacau kakaknya. Di kamar tingkat atas rumah milik kedua ibubapa Farah Edora kelihatan Farah Ain sedang duduk dimejanya sambil menunggu `signal’ untuk mengakses internet yang belum kunjung tiba.

`Hai, Angah tak tengok berita ke. Tak pernah-pernah lak duduk kat depan komputer awal-awal ni’ kata Farah Edora sambil mencuit bahu kiri kakaknya.

Farah Ain tidak menjawab hanya memandang wajah montel adiknya dengan jelingan tajam.

`Angah, ceritalah pasal petang tadi. Ceritalah’ usik Farah Edora lagi bagi mencungkil perkara yang disembunyikan oleh kakaknya. Farah Edora dapat merasakan bahawa kakaknya melalui suatu peristiwa yang indah pada petang ia ke kedai di Plaza Angsana. Kakaknya yang sepatutnya pulang awal darinya tapi lebih lewat menjadi bukti yang kukuh untuk ia mengesyaki bahawa kakaknya bertemu seseorang yang istimewa.

`Cerita apa’ jawab Farah Ain sambil ketawa kecil.

`Ha, Angah ketawa tu. Ini mesti ada cerita best petang tadi’ soal Farah Edora lagi.

Farah Ain akhirnya terpaksa mengalah dan bersetuju untuk menceritakan peristiwa yang berlaku tetapi dengan mengenakan syarat agar adiknya tidak menceritakan kepada ayah,mama dan kak long mereka. Farah Edora yang begitu teruja untuk mendengar cerita menerima segala syarat kakaknya.

Farah Ain menceritakan tentang sahabat lamanya semasa di tingkatan lima yang telah ditemui semasa dalam perjalanan ke kereta untuk pulang ke rumah. Farah Ain hanya memperkenalkan sahabatnya dari bani Adam itu sebagai Kim sahaja. Ia tidak memperkenalkan sepenuhnya nama sahabatnya itu kerana tak mahu di siasat oleh adiknya. Farah Edora tidak mempersoalkan tentang nama penuh jejaka itu kerana baginya pengakuan kakaknya bahawa ia telah bertemu dengan jejaka yang pernah menambat hatinya semasa di sekolah sudah mencukupi. Farah Edora puas.

`Adik, ingat janji kita, don’t talk talk ‘ kata Farah Ain mengingatkan adiknya.

`Don’t worry my dear ’ jawab Farah Edora sambil mencium pipi kakaknya.

`Angah, apa itu cinta’ tanya Farah Edora sambil duduk di sebelah kakaknya menggunakan kerusi bentuk bulat tanpa penyandar.

`Apa hal lak ni tanya pasal Cinta. Adik jatuh cinta ke’ jawab Farah Ain sambil mengerling ke arah adiknya.

`Tak da lah Angah. Kita ni kan dah menuju ke alam dewasa selepas meninggalkan alam remaja. Adik rasa dah masanya kita mengenal sebenar-benarnya apa yang dikatakan tentang cinta’ soal Farah Edora lagi.

Topik Cinta kini menjadi perbualan antara dua anak dara bersaudara. Farah Edora sememangnya tahu makna cinta dan erti cinta kerana ia boleh didapati dari kamus serta bahan-bahan rujukan. Namun yang ingin ia tahu ialah tenang falsafah cinta itu sendiri.

`Adik, bagi Angahlah cinta itu adalah perkongsian jiwa antara lelaki dan perempuan melalui ikatan yang suci iaitu perkahwinan. Tanpa perkahwinan cinta lebih banyak dusta. Biasanya dik, sebelum ada ikatan perkahwinan cinta diungkap kerana ingin mengambil hati, mengoda dan memuji luaran seseorang. Kaum lelaki biasanya akan menyatakan cinta pada perempuan cantik yang mereka kenali agar ia dapat memilikinya. Perempuan pula akan menyatakan cinta kepada lelaki yang disukainya agar lelaki itu tidak meninggalkannya’ jawab Farah Ain dengan panjang lebar seperti seorang pengulas ruang bicara hati di majalah.

`Wah, tinggi falsafah Angah tu’ kata Farah Edora dengan rasa bangga atas hujah kakaknya itu.

`Adik, adik pernah tengok tak ada pasangan yang sama cantik dan lawa tapi hidup mereka tak kekal lama. Kenapa? ‘ kata Farah Ain lagi sambil melontarkan persoalan yang perlu di jawab oleh Farah Edora.

`Mungkin mereka tiada keserasian dan kesefahaman tak’ jawab Farah Edora pendek.

`Pernah tak adik terbaca kisah lelaki yang handsome, lawa berkahwin dengan perempuan yang biasa-biasa sahaja tapi hidup mereka bahagia dan dikurniakan dengan zuriat yang ramai’ soal Farah Ain lagi tanpa mengulas jawapan adiknya.

`Adik tahu, mereka pasangan yang memahami antara satu sama lain, serasi dan dirahmati oleh Allah’ jawab Farah Edora dengan penuh yakin.

`Ha, pandai pun adik akak. Adik, apa yang Angah baca, pasangan itu berkahwin atas dasar suka sama suka. Sepanjang hidup mereka, mereka berkata mereka jarang dan sukar untuk menyatakan kata Cinta. Namun cinta mereka dizahirkan melalui perbuatan seperti saling memahami, bantu membantu, sanggup hidup susah/senang bersama dan saling hormati menghormati’ kata Farah Ain lagi.

`Jadi dik, janganlah mudah sangat mempercayai orang lelaki yang seringkali melafazkan kata cinta kepada kita. Cinta mereka mungkin kerana kita cantik, mengoda dan menguntungkan mereka’ ujar Farah Ain lagi sebagai nasihat kepada adiknya itu.

Farah Edora dan kakaknya Farah Ain hanyut dalam cerita cinta mereka hingga menyebabkan Farah Ain melupakan sejenak laman sesawangnya.


bersambung d' episod 13......

No comments:

Post a Comment