Wednesday, August 24, 2011

CINTA FARAH EDORA-episod 4

Episod Empat…

Farah Atillia bekerja sebagai Pegawai Tadbir di Pejabat Daerah Kota Tinggi. Ia telah berulang-alik dari Johor Bahru ke Kota Tinggi selama tiga tahun. Ia lebih selesa tinggal bersama kedua ibu bapanya di Johor Bahru kerana merasakan sebagai seorang anak perempuan banyak masa dapat diluangkan bersama keluarga dan membantu mamanya dalam tugasan harian di dapur. Farah Atillia kasihan melihat mamanya yang seringkali pulang lewat dari pejabat. Di rumah mamanya akan meneruskan kerja-kerja sebagai suri rumah pula. Sebelum ini telah lama ia meninggalkan keluarga kerana melanjutkan pelajaran di Kuala Lumpur, oleh itu wajarlah kini ia menabur bakti kepada keluarga semampu yang boleh.

Kerana keluarga juga menyebabkan Farah Atillia menolak tawaran jawatan Penolong Pegawai Diplomatik di Jabatan Perdana Menteri yang ber ibu pejabat di Putrajaya. Ia tahu jika ia menerima jawatan itu, nescaya selamanya ia akan tinggal di Putrajaya dan tiada peluang untuk bertukar ke negeri Johor. Baginya tiada penyesalan yang harus di ungkap kerana rezeki ada di mana-mana.

Dewasa ini seringkali ia melihat ramai graduan-graduan yang telah lulus dengan cemerlang di peringkat diploma dan ijazah lebih minat bertugas di bandar-bandar besar seperti Putrajaya dan di luar negara kerana ruang hiburan yang lebih hebat dan kehidupan sosial yang terbentang luas. Mereka agak dengkel untuk kembali ke negeri asal untuk menabur bakti.

Bagi Farah Atillia, apalah guna berjawatan tinggi dan bergaji besar jika ibu bapa di abaikan dan hilang pegangan hidup. Ibu bapa telah berkorban harta dan tenaga bagi memberikan pendidikan kepada anak-anak mereka hingga ke menara gading. Mereka sanggup bergolok bergadai, tapi akhirnya yang mereka dapat hanyalah kesusahan kerana terpaksa membayar hutang dan ada kalanya terpaksa mengadaikan kebun bagi melangsaikan hutang. Ramai pelajar hari ini tidak mengetahui betapa susahnya ibu bapa mereka mencari duit untuk menyekolahkan mereka. Ibu bapa selalunya akan merahsiakan sumber dan dari mana ia diperolehi bagi memberi nafas untuk anak mereka belajar. Balasan yang selalu ibu bapa dapat ialah di abaikan.

Anak-anak akan selalu berkata…

`kami telah menghantar duit setiap bulan kepada ibu bapa kami. Tak memadai ke itu sebagai balasan atas apa yang mereka berikan kepada kami. Kami sentiasa sibuk dengan mesyuarat, kerja luar dan tugasan ke luar negeri, mana ada masa kami untuk selalu menjenyuk mereka’.

Mereka lupa, ibu bapa tidak mengharapkan sesen pun balasan atas apa yang telah mereka berikan. Mereka hanya mahu anak-anak tahu tanggung jawab mereka.

Farah Atillia masih kekal memegang status sebagai anak dara walaupun telah berkerja selepas tamat persekolahan tiga tahun yang lalu. Sebagai seorang wanita, ia sedar perkahwinan adalah merupakan kemuncak kerjaya selepas belajar dan bekerja. Namun sebagai wanita ia pasrah. Ia bukan menolak cinta, tapi berhati-hati dengan cinta. Pengalaman lalu mengajar kepadanya bahawa kekuatan cinta amat penting bagi pasangan mengharungi alam cinta.

Farah Atillia tahu ayah dan mamanya tentu risau akan situasi dirinya. Dalam usia yang memanjat tiba, dirinya menjadi perhatian keluarga. Baginya, ia tidak kisah kalau adiknya Farah Ain yang baru tamat belajar akan berkahwin dulu daripadanya. Istilah `melangkah bendul’ padanya tiada dalam kamus hidupnya. Setiap orang berhak untuk cinta dan mencintai. Tak kan ia harus menahan cinta yang hadir pada diri adiknya Farah Ain semata-mata untuk memperlengkapkan adat melayu yang di warisi oleh orang melayu sejak dahulu lagi. Biarlah bendul yang di langkah asalkan agama tetap di jaga dan di pertahankan.

Dewasa ini, ramai orang yang terlalu mengikutkan adat istiadat hingga lupa bahawa dalam Islam tiada istilah `melangkah bendul’. Dalam Islam yang penting ialah perkahwinan di laksanakan berdasarkan hukum. Apalah gunanya jika, bendul di pertahankan tetapi agama di langkahi. Ramai pasangan hari ini, semasa menjalankan majlis perkahwinan yang dibuat dengan gilang-gemilang lupa solat kerana sibuk bersiap untuk bersanding dan bermekap bagi perempuan.

Jikalau ditakdirkan adik bongsunya Farah Edora yang akan melangsungkan perkahwinan terlebih dahulu daripada ia dan Farah Ain, ia juga reda.

Pengalaman lalu sebenarnya yang membuat Farah Atillia begitu berhati-hati. Baginya biarlah untuk kali yang kedua cinta yang dibina akan terus membawa ke matlamat yang diinginkan oleh dirinya dan keluarga.

Keasyikan membelek-belek majalah PC nya membawa Farah Atillia hanyut ke alam kenangan terindah yang dinikmati melalui kalimah keramat `CINTA’ semasa menuntut di universiti.

Semasa menuntut di tahun dua di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Farah Atillia telah berkenalan dengan seorang penuntut lelaki yang berasal dari negeri yang sama dengannya iaitu Johor. Cuma yang membezakan ialah ia dari Daerah Batu Pahat, manakala Farah Atillia dari Daerah Johor Bahru.

Perpustakaan yang menjadi tempat para pelajar membuat ulangkaji pelajaran dan mencari bahan rujukan juga menjadi tempat pertemuan Farah Atillia dengan lelaki bernama Zulkifli.

`Saya Zulkifli AF’ jawab Zulkifli pendek. Itulah jawapan dari pertanyaan yang diajukan oleh Farah Atillia ketika pemuda itu mohon untuk duduk di meja di mana Farah Atillia duduk bersendirian. Farah Atillia ketika itu bersendirian ke perpustakaan Tun Seri Lanang yang terletak berdekatan dengan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM. Lelaki itu memang sengaja duduk berdekatan dengan Farah Atillia kerana jika di perhatikan masih banyak kerusi kosong yang terletak di dalam perpustakaan itu. Farah Atillia tidak menyedarinya kerana sedang asyik mengulangkaji dan mencatat nota.

Farah Atillia berhenti seketika kerana memikirkan penghujung nama lelaki yang memperkenalkan dirinya itu mempunyai huruf `AF’.

`Apa AF tu, awak pernah masuk Akademik Fantasia ke’ Tanya Farah Atillia sambil meletakkan buku yang di baca di atas meja.

`Saya dah agak pasti orang akan tanya nama tu’ jawab Zulkifli sambil ketawa kecil.

`Sebenarnya AF tu ialah nama ayah saya Abdul Fahmi. Di kelas saya ada dua orang yang bernama Zulkifli. Seorang bernama Zulkifli Ahmad dan seorang lagi saya. Jadi bagi mengelakkan kekeliruan Pensyarah telah menggelar saya sebagai Zulkifli AF dan seorang lagi sebagai Zulkifli sahaja’. Terang Zulkifli bagi fahaman Farah Atillia.

‘Cik sapa nama’ Tanya Zulkifli pula

`Saya Farah Atillia atau boleh panggil Lia sahaja’ jawab Farah Atillia pendek.

`Awak selalu ke sini ke’ Tanya Zulkifli lagi.

Farah Atillia hanya menganggukkan kepala tanda ya pada soalan Zulkifli.

`Awak’ Tanya Farah Atillia pula.

`Saya jarang ke `library’ ni, biasanya pada waktu petang begini saya main bola sepak atau ping pong. Bosan pula rasanya asyik mengadap buku seharian. Badan dan fikiran nak kena rehat juga cik Lia’ terang Zulkifli. Farah Atillia terasa seperti di sindir kerana ia kurang bersukan dan beriadah. Baginya pelajaran lebih utama dari yang lain.

`Lia tak suka `game’ ke’ soal Zulkifli bila melihat wajah Farah Atillia yang sedikit muncung bila ia menceritakan tentang aktiviti sukan.

`Suka jugak, tapi tak berapa le. `Game’ macam badminton dan dart adalah saya `follow’. Jawab Farah Atillia bagi membuktikan ia tidak terlalu daif tentang sukan, cuma masa yang sering mencemburuinya.

`Lia ambil jurusan apa’ Zulkifli terus mengumpul maklumat dari gadis yang penampilannya dilihat senderhana, tubuhnya kurus tinggi dan memakai seluar jeans dengan baju ‘blaus’ berwarna biru.

`Saya di Falkuti Sains Sosial dan kemanusiaan’ jawab Farah Atillia yang sejak tadi tidak dapat menumpukan rutinnya kerana soalan demi soalan yang diajukan oleh Zulkifli.

`Tahun satu’ tambah Farah Atillia lagi.

`Awak pula’ Tanya Farah Atillia pula.

`Saya di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, tahun dua’ jawab Zulkifli lengkap dengan tempoh yang telah di lalui di Universiti Kebangsaan Malaysia yang merupakan antara universiti yang terawal di Malaysia.

Keadaan menjadi tenang semula bila Farah Atillia mula menyambung pembacaannya dan keadaan ini mengundang rasa bersalah Zulkifli.

`Sorrylah Lia sebab ganggu awak `study’. Baru tahun satu, relek ajelah dulu. Nanti kalau dah tahun dua dan tiga barulah `rush’ sikit.’ Zulkifli kembali bersuara bagi menceriakan suasana yang dilihat telah mula kusam.

Farah Atillia hanya tersenyum kecil bila mendengar kata-kata Zulkifli. Bagi Farah Atillia tiada masa rehat atau `honeymoon’ untuk dinikmati walaupun baru di tahun satu.

`Lia, kalau saya `join’ awak `study’ kat sini boleh’ sekali lagi Zulkifli bersuara bagi mencari peluang mendekati Farah Atillia.

`Boleh, apa salahnya. Tapi kena `join’ jugalah dengan kawan saya Zuarimy’. Jelas Farah Atillia dengan nada ikhlas tanpa sebarang keraguan terhadap Zulkifli. Entah kenapa, Farah Atillia seperti di pukau dengan penampilan Zulkifli. Sikap ramah dan santainya membuatkan ia selesa dan terbuka untuk berkenalan. Sebelum ini sukar untuk ia berkenalan dengan pelajar lain di situ kerana melihat `target’ untuk mengurat yang mereka sering lakukan. Zulkifli di lihat tiada `target’ itu dan ikhlas untuk mengenalinya.

`Lia’ tiba-tiba muncul nama wanita yang disebut di depan Zulkifli.

`Zu’ panjang umur kau, baru aku sebut nama kau tadi’ tersentak Farah Atillia dengan sergahan Zuarimy yang datang dengan tiba-tiba dari belakangnya.

`Zu, ni perkenalkan Zulkifli AF budak Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina’ Farah Atillia terus memperkenalkan Zulkifli kepada Zuarimy sebelum Zulkifli memperkenalkan diri.

`AF berapa, tak pernah dengar nama pun’ Tanya Zuarimy secara berseloroh kepada Zulkifli.

`Dia bukan dari Akademik Fantasialah Zu’ sekali lagi Farah Atillia menjawab bagi pihak Zulkifli. Zulkifli hanya tersenyum kecil mendengar usikan Zuarimy kawan Farah Atillia. Baginya perkara itu sudah menjadi lumrah setiap kali namanya di perkenalkan kepada pelajar di situ.

`Habis kenapa letak AF kat depan nama awak Zulkifli’ Zuarimy terus mengusik Zulkifli bagi mendapat penjelasan yang sebenar.

Farah Atillia menerangkan dengan terperinci sepertimana yang diterangkan oleh Zulkifli kepadanya. Atas penjelasan itu barulah dilihat Zuarimy faham.

`Kalau macam tu aku nak orang panggil aku Zuarimy MT boleh tak’ usul Zuarimy sambil duduk di sebelah Farah Atillia.

`Minah Tension’ usik Farah Atillia pula yang mengundang gelak tawa Farah Atillia dan Zulkifli. Kelihatan beberapa pelajar yang berhampiran dengan mereka sedikit terganggu dengan suasana sedikit bising yang diwujudkan oleh Zulkifli, Farah Atillia dan Zuarimy.

`Oklah Lia nanti jumpa lagi’ Zulkifli menamatkan pertemuan pertama yang membawa tindak balas positif. Ia bangun dari kerusi dan terus berlalu.

Zuarimy yang sedari tadi duduk disebelah Farah Atillia merenung tajam ke muka Farah Atillia sambil mengangkat keningnya. Farah Atillia tersenyum sahaja melihat gelagat kawan karibnya itu.

`Hai Lia, lain macam aje aku tengok kau layan mamat tu’ usik Zuarimy.

`Selalunya aku tengok kau susah nak layan ngan budak-budak lelaki yang cuba mengurat kau’ Kata Zuarimy sebagai tanda terkejutnya atas tindakan Farah Atillia.

`Tak da lah Zu, kawan ajelah. Lagipun dia orang Johor jugak. Aku tak da apa-apa lah dengan Zulkifli tu’ jawab Farah Atillia sambil tersenyum meleret. Senyuman itu yang membuatkan Zuarimy tidak percaya dengan kata-kata Farah Atillia. Baginya Farah Atillia seperti menyembunyikan sesuatu.

`Mengancam juga mamat tu, Lia, boleh tergoda aku dibuatnya’ usik Zuarimy lagi.

`Ia ke, kalau kau nak ambiklah. Aku tak kisah’ jawab Farah Atillia selamba.

`Ya ke ni, lain macam aje aku tengok muka kau. Aku gurau aje lah Lia’ kata Zuarimy lagi sebagai menduga hati kawannya itu. Zuarimy telah berkawan dengan Farah Atillia sejak hari pertama melaporkan diri di kampus itu. Memandangkan mereka berdua datang dari negeri yang sama, ia memudahkan persahabatan terbina.

Empat hari selepas pertemuan itu, kelibat jejaka yang bernama Zulkifli AF tidak kelihatan lagi di perpustakaan itu. Farah Atillia dan Zuarimy yang saban hari kesitu merasakan ketidakhadiran jejaka itu. Mata Farah Atillia seringkali kelihatan melinggas-linggas mencari sesuatu setiap kali masuk ke perpustakaan Tun Seri Lanang itu. Tanpa disedari oleh Farah Atillia perlakuannya itu diperhatikan oleh Zuarimy.

`Kau cari sapa Lia’ tegur Zuarimy yang membuatkan Farah Atillia sedikit tersentak dan merasa malu. Farah Atillia hanya mendiamkan diri dan meneruskan pembacaannya tanpa mempedulikan soalan Zuarimy. Ia sedar kawannya itu tahu apa yang dicari. Jadi baginya tak perlulah dijawab soalan yang sudah ada jawapannya. Farah Atillia merasakan dirinya seperti Cinderella yang meninggalkan Prince Charmingnya selepas detik 12.00 malam. Yang bezanya dia pula yang mencari-cari sang putera selepas pertemuan itu.

Pada hari yang kelima, Farah Atillia sudah tidak memperdulikan lagi samaada ada atau tidak jejaka yang bernama Zulkifli AF itu. Baginya usah ditunggu buah yang takkan gugur kerana kelak yang menunggu merana sedangkan yang ditunggu tidak memperdulikan nasib si penunggu.

`Hai Lia, Zu’ tiba-tiba kedengaran suara seorang jejaka yang berdiri di belakang Farah Atillia.

`Ha, encik Zulkifli AF, ingat dah balik Johor. Lama tak nampak?’ tegur Zuarimy yang duduk sebelah Farah Atillia sambil mencuit peha Farah Atillia yang sedang asyik membaca.

`Tak dalah Zu, saya ada kat kampus lagi. Minggu ni ada perlawanan bolasepak antara falkuti’ jawab Zulkifli sambil duduk di depan Zuarimy. Matanya memerhatikan ke wajah Farah Atillia yang diam sejak tadi.

`Hari ni baru habis `games’ jadi bolehlah saya join awak `study’ ‘ tambah Zulkifli lagi.

`Hai Lia, diam aje, macam tak suka aje saya datang’ tegur Zulkifli pada Lia yang kelihatan masih diam dan tekun membaca.

`Oh, Zul. Tak dalah, suka. Saya ni tengah syok sangat baca buku ni. Sorrylah tak perasan lak awak datang’ jawab Farah Atillia sambil menunjukkan buku berjudul `Inspektor Singh’ yang di pinjam di perpustakaan itu.

Sejak hari itu, Zulkifli telah menjadi teman baik Farah Atillia dan Zuarimy. Mereka seringkali dilihat bersama-sama di perpustakaan. Zulkifli tidak segan dan kekok untuk bergaul dengan mereka berdua. Baginya perbezaan membuatkan semangat perjuangan di medan ilmu lebih membara dan mencabar. Bagi Zulkifli, kaum wanita merupakan golongan yang amat rajin dalam membina kerjaya. Mereka lebih fokus dan tidak menghiraukan keseronokan aktiviti di luar yang tumbuh bak cendawan di kota raya Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur menyediakan pusat hiburan yang begitu banyak dan mengoncang jiwa muda mudi. Di mana-mana sahaja ada pusat hiburan yang menjadi punca kegagalan kebanyakan pelajar yang asalnya datang ke Kuala Lumpur dengan penuh semangat untuk mengenggam segulung ijazah. Bila mereka telah mula kenal di mana pusat setan-setan berkumpul bebas maka bermulalah kerosakan yang mereka bina. Emak dan bapak mereka di kampung begitu yakin anak-anak mereka berjuang habis-habis untuk merubah taraf hidup keluarga dan diri pelajar itu sendiri. Namun akhirnya semuanya musnah dek hiburan yang melalaikan. Jika tidak masa kan terpampang di dada-dada akhbar kisah penuntut universiti ditangkap kerana khalwat, minum arak, lumba haram dan banyak lagi gejala sosial yang begitu memalukan institusi pengajian di negara ini.

Persahabatan mereka berlarutan hingga Zulkifli di tahun akhir pengajiannya. Di antara mereka bertiga, Zulkifli dilihat lebih rapat dengan Farah Atillia. Mereka kadang-kadang dilihat berdua tanpa kehadiran Zuarimy yang tidak `join’ sama kerana ada urusan lain. Masa berdua digunakan oleh Zulkifli bagi menambat hati Farah Atillia.

`Lia, nampaknya tak lama lagi kita akan berpisah, sebab saya akan menamatkan pengajian pada tahun ini’ kata Zulkifli pada suatu petang isnin di perpustakaan UKM itu.

`Em, ya tak ya jugak Zul, kejap kelip, kejam kelip dan tahun dua saya dan awak di tahun akhir’ balas Farah Atillia yang merasakan masa umpaman terlalu laju meninggalkan mereka.

Zulkifli merasakan masanya sudah tiba untuk ia menyatakan apa yang terbuku dihatinya. Kepada Farah Atillia ia harus berterus terang agar penyesalan tidak menjelma di kemudian hari. Zulkifli akhirnya nekad untuk meluahkan isi hatinya.

`Lia, kalau saya cakap awak jangan marah he’ itulah kalimah pertama yang diucapkan Zulkifli bagi memulakan agendanya.

`Lia, saya tahu kita ni masih belajar dan harus menumpukan tumpuan 100% pada pengajian yang kita ambil. Tetapi sebagai manusia normal yang serba lemah dan berperasaan saya tak boleh menipu diri saya lagi’ Zulkifli meneruskan hujahnya seperti seorang pemidato yang membuat pennggulungan semasa acara debat dijalankan. Farah Atillia yang duduk di depan Zulkifli tekun mendengar hujahnya sebelum membalas dengan hujahnya pula.

`Maksud awak?’ Tanya Farah Atillia pendek.

`Saya sebenarnya telah lama nak cakap perkara ni Lia’ jawab Zulkifli lagi. Hujah Zulkifli masih samar dan membuatkan Farah Atillia mahu penjelasan yang jelas.

`Apa dia Zul, cakap ajelah saya sedia dan sanggup menerimanya’ sambung Farah Atillia menduga.

`Susah jugak he nak cakap’ Zulkifli pula terhenti untuk meneruskan hujah sambil tangan kanannya mengaru-garu dagunya yang tidak berjanggut.

`Lia, saya rasa hati saya dah tak ada’ keluar kata-kata dari mulut Zulkifli yang mengundang kemuskilan Farah Atillia.

`Saya rasa hati saya telah lama di curi dan tidak dikembalikan’ sambung Zulkifli lagi yang membuat Farah Atillia semakin keliru. Peluh telah mula kelihatan dimuka Zulkifli. Peluh yang mengalir umpama seorang ahli olahraga selesai berlari sejauh 400m. Farah Atillia menyedari perkara itu, lalu memberikan sehelai tisu kepada Zulkifli.


bersambung d'episod 5...

No comments:

Post a Comment